Monday, March 7, 2011

Kemana Arah Motorsports Malaysia? (1)

"Helps its members to grow their businesses and increase their profitability
Raises and maintains a positive profile for the motorsport industry and, when necessary, speaks for the sector as a whole"
- Motorsports Industry Association

Mengikut sejarah, motorsport Malaysia bermula pada zaman penjajahan British pada tahun 1947 di sebuah estet di negeri Perak. Perlumbaannya cukup senang, membawa hasil perladangan dengan pantas. Sekarang pada tahun 2011, motorsport Malaysia sudah melangkah dimensi baru dengan sudah pelbagai jenis perlumbaan dari perlumbaan drag kepada autoshow. Jika dikira dari tempoh tahun, motorsport sudah bertapak di Malaysia kira - kira 64 tahun. Sudah cukup lama untuk menjadikan kita gergasi motorsport di Asia ini. Tapi jujur pada diri kita, apakah kita sudah menjadi gergasi untuk benua Asia?

Sebelum kita nak merealisasikannya seeloknya kita merenung sedalamnya apa yang sudah jadi pada motorsports Malaysia. Secara jujur saya katakan, dunia motorsport Malaysia hanyalah sekadar main - main saja. Usaha untuk menjadikan ianya serius tidak nampak. Kemuncak dunia motorsport Malaysia hanyalah di trek legenda Batu Tiga. Bermacam acara dapat dibuat. Lahir ramai pemandu yang hebat hanyalah di trek tersebut. Semuanya kerana harga untuk menyertai sesuatu acara tersangat murah. Maka ianya mendapat perhatian dan penyertaan ramai pihak.

Namun setelah ianya tutup suasana motorsport Malaysia seolah - olah sepi. Ya, mungkin tidak sepi bagi mereka yang benar - benar minat. Tapi bagi mereka yang separuh minat, motorsport sudah sepi. Kenapa ianya sepi? Apabila trek yang dekat dan murah telah ditutup maka untuk orang ramai pergi menontonnya sudah kurang. Apabila Sepang dibuka, secara perlahan - lahan suasana mulai suram. Dari siaran tertunda yang menayangkan perlumbaan hinggalah tiada langsung. Bukannya menyalahkan trek Sepang, tapi realitinya minat untuk kesana seolah tiada. Apa puncanya? Apakah kerana tiket mahal? Tempat letak kereta yang mahal? Pengurusan yang lembab?

Malaysia tidak mempunyai satu tempat untuk kita melahirkan ramai pelumba yang hebat - hebat. Ya, Litar Sepang tempatnya tapi mana mungkin kita mampu melahirkan pelumba - pelumba hebat kalau tiada satu sistem pengurusan yang baik dan mantap. Cuba jujur diri - sendiri dari Menteri hinggalah pengurusan Litar Sepang, apakah persediaan kita untuk melahirkan para pelumba yang hebat. Apa yang kita sudah buat untuk melahirkan para pelapis Faidzil Alang, Tengku Djan, dan ramai lagi. Cukupkah kita berbangga dengan mereka ini untuk SAAT ini? Apakah kita tidak mahu berbangga zaman - berzaman dengan kewujudan para pelumba yang hebat setiap tahun?

Terus - terang saya menganggap kita tidak punya satu sistem pengurusan yang baik. Contohnya, lihat saja apa yang terjadi pada Sepang Drag Battle. Kenapa makin lama makin suram? Kenapa jumlah kehadiran penonton menurun secara mendadak? Kenapa jumlah penyertaan semakin lama semakin kurang? Dimana salahnya? Jika dahulu tiket untuk kawasan PIT hanyalah RM30.00. Sekarang sudah mencecah RM50.00. Maka lihat saja apa yang sudah terjadi pada jumlah kehadiran penonton. Karenah - karenah pihak pengurusan yang mengaturkan perlumbaan drag juga menimbulkan rasa tidak selesa kepada para pelumba. Jadi mampukah Litar Sepang melahirkan para pelumba yang bertaraf antarabangsa? Oh ya, dengar khabar Sepang Drag Battle dianjurkan mereka yang berada di luar pengurusan Litar Sepang pada satu ketika dahulu. Namun telah dirampas oleh pengurusan Sepang dan lihatlah apa yang terjadi.

Sekarang sudah wujud satu kumpulan yang benar - benar mahu melihat arena motorsports Malaysia menjadi satu industri yang sihat. Mampu memberikan pulangan yang tinggi kepada ekonomi Malaysia. Membebaskan Malaysia dari gejala lumba haram. Niat mereka sememangnya telah mendapat sokongan dari Perlis hingga ke Johor. Ketika acara ini baru diperkenalkan, hanya puluhan kereta sahaja yang menyertainya. Pada 5/3/2011 penyertaan untuk acara kali ini sudah mencecah 125 buah kereta. Para pengunjung dari ratusan kepada ribuan orang. Mereka sudah merancakkan penjualan - penjualan barang - barang prestasi kereta di kedai - kedai yang berkenaan. Mereka sudah menggalakan anak - anak muda jika dahulu suka memandu secara berbahaya di jalanraya, sekarang sudah memandu secara berbahaya di litar Sepang. Mereka mengharapkan agar lumba haram dapat dikurangkan atau dilenyapkan terus. Namun baru 3 pusingan dijalankan, kenapa sudah wujud usaha untuk mensabotaj usaha mereka ini. Dengan tuduhan fitnah jahat dengan mengatakan mereka ini menganjurkan perlumbaan haram. Tuduhan dengan mengatakan mereka terlalu bising. Tuduhan dengan mengatakan mereka membuat acara tanpa permit. Mereka yang melemparkan tuduhan sedemikian rupa adalah yang mempunyai jiwa yang tersangat busuk. Apakah mereka ini mahu merampas acara gemilang ini untuk mengaut keuntungan semaksimum mungkin sebagai mereka lakukan kepada Sepang Drag Battle?

Saya memohon kepada pihak berkuasa khasnya Menteri dan mereka yang berkenaan. Tolonglah mereka yang sedang berusaha memartabatkan industri motorsports Malaysia. Bantulah mereka dengan memberi galakan agar usaha - usaha mereka membuahkan hasil. Ini bukan saja soal menghapuskan lumba haram tapi sebenarnya menjana ekonomi Malaysia. Jika ini dapat difahami oleh semua pihak baik Menteri dan pengurusan Litar Sepang, percayalah kita mampu menjadi Gergasi Motorsport di benua Asia ini.

BERSAMBUNG BAHAGIAN 2

No comments:

Post a Comment