Wednesday, March 31, 2010

Trek Murah di Lembah Kelang

Perak sudah ada trek sendiri. Melaka sedang dalam pembinaan. Namun kenapa di Lembah Kelang khasnya yang berdekatan dengan Kuala Lumpur tidak ada? Ya benar, kita sudah ada Sepang. Tapi pernahkah mereka terfikir berapa ramai orang sangat yang sanggup ke Sepang. Kos yang melibatkan tol, minyak dan tempat letak kereta saja sudah cukup memeningkan kepala mereka. Itu belum campur kos untuk membeli tiket.

Sudah tiba masanya kerajaan Malaysia membina satu trek yang bersifat kos rendah di sekitar kawasan yang berdekatan dengan Lembah Kelang. Adakan satu satu trek yang mempunyai pelbagai fungsi. Satu bahagian khasnya untuk mereka yang meminati berlumba satu pusingan trek dan satu lagi khas untuk mereka yang meminati perlumbaan drag. Kenapa perlu ada trek dwi-fungsi? Kerana buat pengetahuan pihak berkenaan, permotoran sebeginilah yang menjadi minat kepada anak - anak muda Malaysia.

Cuba lihat trek sementara yang ada di Cyberjaya. Trek yang hanya wujud setiap bulan. Trek yang hanya disifatkan sementara. Trek yang dianggap cukup merbahaya kerana ciri - ciri keselamatan yang teramat kurang. Trek yang wujud di atas sebatang jalan mati. Tapi menarik minat ribuan peminat perlumbaan drag. Walaupun dalam keadaan yang tidak selesa seperti tempat letak kereta yang memaksa pemilik kenderaan memanjat tembok pembahagi jalan, namun atas minat yang tinggi kepada dunia permotoran semua perkara yang tidak selesa itu diabaikan. Namun jika kita memikir secara mendalam, di sebuah kawasan yang berprestij seperti Cyberjaya mempunyai sebuah trek yang teramat daif. Kawasan yang mengundang pelancong asing untuk datang berkunjung. Bukankah ini mencemarkan sedikit imej negara kita?

Bukanlah niat penulisan ini untuk mengeji pihak penganjur perlumbaan saban bulan itu. Tapi niat penulisan ini mahu mengajak para pembaca dan pihak berkenaan merenung kembali dan berfikir secara teliti. Lihatlah minat anak muda terhadap dunia permotoran di Malaysia. Teramat tinggi. Namun wajarkah minat mereka ini disia - siakan dan wajarkah keselamatan mereka disia - siakan juga? Mujurlah ada pihak penganjur seperti di Cyberjaya ini ada. Sanggup mengambil inisiatif untuk menganjurkan perlumbaan di atas sebatang jalan mati demi untuk memenuhi permintaan para peminat sukan lumba drag.

Rasanya sudah tiba masa untuk pihak - pihak berkenaan mulai berfikir dan berbincang sesama sendiri. Apakah perlu trek murah seperti yang dicadangkan tadi harus dibina atau tidak? Jika tanya pada semua pelumba, pemilik bengkel dan peminat sukan permotoran sudah pasti jawapan yang diterima adalah 100% mahukan trek sebegini dibina. Harus diketahui bukan bererti trek Sepang tidak bagus. Trek Sepang merupakan satu trek yang berprofail tinggi. Kawasan yang hanya sesuai kepada mereka yang professional sahaja. Bagi mereka yang masih baru atau amatur, litar sebegini tidak sesuai. Bila ada trek yang bersifat tidak berprofail tinggi di ibu kota ini, mereka yang masih amatur dapat berlatih setiap minggu dan ini akan meningkatkan skil mereka sebelum mereka dengan berjayanya beraksi di litar Sepang. Litar Sepang sepatutnya dijadikan penanda aras tahap skil atau bakat mereka. Jadikan ianya sebagai sebuah tempat tahap standard atau piawaian yang tinggi.

Jika mahu berbicara soal ekonomi, trek yang bersifat sederhana inilah yang bakal menjana ekonomi negara. Bayangkan dengan kos penyelenggeraan yang tidak setinggi Sepang dan sentiasa dibuka pada hujung minggu, bukankah ianya akan mendatangkan keuntungan atau wang secara berterusan? Sesiapa sahaja yang pernah melalui zaman kegemilangan trek Batu Tiga pasti tahu bagaimana meriahnya suasana di sana ketika malam minggu. Bagaimana peniaga - peniaga kecil yang berniaga di kawasan sekitar turut mendapat tempias anak - anak muda yang berada di trek tersebut. Mana yang kita mahu, trek Sepang yang hanya sesekali dibuka dan keuntungan yang belum tentu dapat atau trek bersifat sederhana ini yang dibuka setiap minggu dengan yuran masuk dan tiket yang murah akan tetapi keuntungan pasti dapat dengan syarat setiap minggu dibuka. Pilihan ditangan pihak berkenaan.

Jika mahu bicara soal gejala sosial iaitu lumba haram, inilah masanya untuk kita mewujudkan trek sebegini yang dekat dengan ibukota Malaysia ini. Kebanyakkan mereka yang terlibat dengan lumba haram adalah mereka yang sudah gian mahu berlumba. Tapi sayangnya mereka tiada tempat. Tiada tempat untuk mereka melepaskan gian. Jadi akhirnya mereka melepaskan gian mereka di jalanan. Walaupun mengundang bahaya, namun itu tidak diambil kira kerana bagi mereka melepaskan gian itulah yang lebih utama. Kita boleh cakap kenapa tak lepas di trek. Trek yang mana satu? Sepang? Trek yang terlalu jauh buat mereka ini. Tanyalah kepada mereka ini, adakah mereka sanggup ke sana. Sudah pasti jawapan yang bakal kita perolehi adalah TIDAK!! Kita yang memperkenal Valentino Rossi, Micheal Schumacher, filem - filem lumba dari dunia barat dan keluaran kita sendiri, namun apabila anak - anak muda ini mahu menjadi seperti mereka tiada tempat untuk mereka menunjukkan skil sebenar. Jika dulu ada trek Batu Tiga yang dekat dengan ibukota namun sekarang? Dimana? Itu belum dikira mereka yang susah atau datang dari keluarga kurang senang belum tentu dapat menjadi pelumba professional kerana tiada siapa yang mahu menaja mereka dan mereka ini terpaksa mengikat perut semata - mata mahu memasuki sesi latihan di litar Sepang yang mencecah RM300.00!! Itu juga belum dikira litar yang hebat itu hanya ada tarikh - tarikh tertentu untuk hari terbuka trek. Jadi dimana pelumba - pelumba yang kurang upaya kewangan mereka ini untuk menunjukkan bakat? Sedangkan ada ribuan di antara mereka lebih berbakat daripada mereka yang bernasib baik yang mempunyai ahli keluarga yang kaya - raya yang menyediakan segala bentuk kemudahan yang mereka boleh berikan kepada anak - anak mereka. Jadi soalan sekali yang ingin diutarakan dimana mereka mahu berlatih dan berlumba? Sudah pasti lebuhraya, jalanraya di kawasan sekitar Lembah Kelang ini! Maka dapatlah kita melihat ratusan motorsikal berlumba di jalanraya, dapatlah kita dapat melihat puluhan kereta berlumba di jalanraya.

Dunia permotoran mampu menaikkan nama Malaysia jika betul kaedahnya. Sampai bila kita mahu melihat hanya segelintir sahaja yang membawa naik nama Malaysia. Sedangkan di Jepun kerana wujudnya trek - trek yang berprofail rendah maka puluhan pelumba mereka tampil mewakili bengkel masing - masing namun tetap bangga membawa nama negara mereka. Kita? Tengku Djan, Faidzil Alang, Fairuz, Jazeman Jaafar, Alex Yoong hanya beberapa kerat sahaja. Sedangkan mereka yang benar - benar berbakat tidak dapat menunjukkan skil mereka sebenar hanya kerana tidak punya tempat yang sesuai.

Perak sudah ada, Melaka sudah ada namun di Lembah Kelang kenapa tidak dibina juga trek murah sebegini.

Dengarlah rayuan anak - anak muda Malaysia. Binalah sebuah trek sederhana kosnya demi untuk sebab - sebab yang diberikan. Binalah seperti mana yang ada di Perak dan di Melaka walaupun di Melaka trek itu sudah mencapai tahap piawaian professional.

Binalah trek untuk perlumbaan drag yang mengikut speksifikasi yang betul dengan permukaan jalan yang sesuai dengan kereta yang berkuasa 1000 kuasakuda. Barulah mereka dapat mencatat masa yang sama dengan para pelumba drag di Amerika dan jiran kita Thailand. Bina satu trek yang lengkap dengan para penonton selesa. Tapi sudah pasti pihak berkenaan lebih arif kerana dapat membuat lawatan di Thailand dan Amerika sebelum membinanya.
Binalah sebuah trek yang sesuai untuk para penunggang motorsikal dan kereta. Mungkin boleh satu kawasan dibina 2 trek. Sebelah kiri drag dan sebelah kanannya trek penuh. Yakinlah sudah pasti ianya akan penuh saban malam minggu. Rayuan terakhir dari penulisan ini, binalah untuk kami anak - anak muda supaya dapat memenuhi aktiviti malam minggu di trek daripada menghabiskan masa di jalanan.

Sekian terima kasih

MOTORSPORT FOR LIVE!

5 comments: